26 February 2009-BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Satu program induksi bagi para Guru Besar Sekolah Rendah yang baru dilantik bagi tahun 1429 Hijrah/2009 Masihi berlangsung hari ini di Dewan Takwa, Institut Perkhidmatan Awam, Rimba, Gadong.
Seramai 31 tenaga pakar dan pemudah cara yang terlibat dalam program berkenaan terdiri daripada pensyarah Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Pegawai-Pegawai Kenaziran, Jabatan Kenaziran sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan dan Guru Besar yang dikenal pasti sebagai cemerlang dalam pengurusan sekolah.
Program dua hari yang bermula hari ini dan 28 Februari itu antara lain menyentuh mengenai Harapan Bahagian Pendidikan Rendah, Tugas dan Tanggungjawab Pemimpin Sekolah yang disampaikan oleh Awang Aidin Haji Abu Bakar.
Seterusnya penerangan mengenai Program Induksi oleh Hajah Dayang Bollaliza Abdullah Puasa diikuti dengan Kerja Berkumpulan untuk mengenal pasti keperluan (Needs analysis) yang dibantu selia oleh Profesor Madya Dr Hajah Zaiton Hjai Taha (SHBIE).
Selain itu para Guru Besar juga diterangkan mengenai "model dan strategi" bagi pemimpin sekolah yang disampaikan oleh Dr Terry Sullivan dan program hari ini diakhiri dengan Perbincangan Dalam Kumpulan Rancangan bagi Praktikum (Developing Action Research Plan) yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr Hajah Zaiton Haji Taha (SHBIE).
Peranan utama Guru Besar sebagai pemimpin sekolah adalah tidak dinafikan lagi, di mana mereka mengepalai seluruh warga sekolah dengan menyediakan kepimpinan profesional dan pengurusan di sekolah sebagai sebuah organisasi pembelajaran.
Mereka dilihat berperanan sebagai penentu kejayaan dalam melaksanakan program pendidikan di sekolah dan dari segi kepemimpinan pengajaran.
Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan menyatakan untuk membantu para Guru Besar yang baru dilantik melaksanakan tugas dan peranan dengan lebih berkesan adalah antara lain rasional program di adakan.
Program induksi itu juga adalah khusus bagi memperkenalkan para Guru Besar mengenai tugas dan tanggungjawab serta peranan sebagai seorang pemimpin sekolah.
Sebagai langkah permulaan, Bahagian Perkembangan Sumber Tenaga Manusia, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama SHBIE, UBD, Jabatan Sekolah-Sekolah dan Jabatan Kenaziran Sekolah-Sekolah mengadakan program seumpamanya.
27.2.09
Posted by KLIKKLIKNAJ at 2/27/2009 05:08:00 am