28.2.09



Daerah Tutong, Sabtu 28 Februari 2009- Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Awang Haji Mohamed Taib, berserta rombongan, membuat lawatan kerja ke dua buah sekolah di daerah Tutong.
Rombongan memulakan lawatan ke Sekolah Rendah Dato Pemancha Saging, Ukong, Tutong, yang mempunyai keramaian 86 orang murid. Sekolah ini adalah antara 10 buah sekolah rendah di daerah Tutong yang terjejas ketika banjir besar melanda daerah tersebut pada awal Februari lalu.
Ketibaan Yang Berhormat Pehin dialu-alukan oleh Guru Besar SR.DPS Ukong, Cikgu Samihon Bin Hj Kechi. Semasa lawatan tersebut Yang Berhormat Pehin telah menerima penerangan mengenai keadaan sekolah tersebut semasa kejadian banjir itu melanda, dan beberapa perkara yang berkaitan dengan kejadian tersebut juga telah dibangkitkan. Guru Besar Sekolah telah menjelaskan bahawa “Pelan Tindakan” (Standard Operational Procedure - SOP), yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan bagi menghadapi kejadian yang seumpama itu, telah berjaya memberikan keyakinan kepada pihak pentadbiran sekolah untuk melaksanakan tindakan-tindakan bersesuaian dengan baik dan lancar. SOP tersebut adalah mengambil kira aspek-aspek keselamatan dan kesihatan, serta berpandukan kedudukan dan kawasan sekolah masing-masing.

Yang Berhormat Pehin dan rombongan mengambil maklum bahawa semasa banjir besar melanda Daerah Tutong, pihak sekolah juga mendapat bantuan daripada agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pusat Bencana Alam Kebangsaan. Pihak-pihak tersebut sentiasa membuat pemantauan dan memberikan bantuan yang diperlukan dari semasa ke semasa, terutama di kawasan-kawasan yang terjejas, khususnya yang melibatkan hubungan jalanraya.
Dalam lawatan itu juga, Yang Berhormat Pehin dan rombongan telah dibawa melawat bilik-bilik komputer, pembelajaran Bahasa Inggeris Tahun 5, perpustakaan sekolah dan bilik Darjah Pra. Yang Berhormat Pehin menghargai usaha-usaha pihak sekolah yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang tidak hanya bertumpu di dalam bilik darjah, sebaliknya telah juga melaksanakannya di kawasan sekolah, yang mampu meningkatkan minat dan kefahaman di kalangan para murid.
Kemudian Yang Berhormat Menteri Pendidikan dan rombongan meneruskan lawatan ke Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman, Tutong. Ketibaan rombongan Yang Berhormat Pehin Menteri Pendidikan dialu-alukan oleh Pemangku Pengetua, Cikgu Rosanani Musing. Sekolah ini mempunyai kira-kira 1120 orang pelajar, daripada peringkat menengah bawah hingga tingkatan 6, dan 112 orang tenaga pengajar.
Acara lawatan kerja itu didahului dengan sesi taklimat mengenai pekembangan dan pencapaian akademik sekolah yang disampaikan oleh Pemangku Pengetua Sekolah. Yang Berhormat Pehin telah berbincang dengan Ketua-Ketua Jabatan di sekolah itu mengenai perjalanan sekolah tersebut pada keseluruhannya, dan juga mengenai pelaksanaan SPN21. Dalam kesempatan itu, Yang Berhormat Pehin telah menasihatkan agar setiap pihak mengambil langkah-langkah bersesuaian dan berkesan bagi memastikan para pelajar dapat didedahkan kepada berita-berita semasa, sama ada berita tempatan mahupun antarabangsa, bagi meningkatkan pengetahuan mereka, dan juga untuk memperbaiki kemahiran para pelajar berbahasa Inggeris.
Selepas taklimat tersebut, Yang Berhormat Pehin meninjau ke bilik-bilik darjah, makmal-makmal, perpustakaan dan berkesempatan berinteraksi dengan para guru dan penuntut, di samping melihat secara dekat kemudahan-kemudahan pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah tersebut, khususnya bagi pelaksanaan SPN21. Yang Berhormat Pehin juga berkesempatan menyaksikan pelaksanaan kegiatan kokurikulum, yang merupakan salah satu kewajipan kepada setiap pelajar di sekolah-sekolah menengah di seluruh Negara untuk menyertainya.
Turut serta dalam rombongan ialah Setiusaha Tetap-Setiausaha Tetap, Pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai kanan Kementerian