LAWATAN KERJA YANG MULIA TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN
KE UNIVERSITI-UNIVERSITI DAN INSTITUSI PENDIDIKAN SUKAN DI AUSTRALIA
Bandar Seri Begawan - Yang Mulia Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman, Timbalan Menteri Pendidikan selaku Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Sukan serta rombongan bertolak ke Australia kelmarin, Ahad, 01hb Mac 2009 bagi rangka lawatan kerja selama 11 hari (02 hingga 12 Mac 2009) ke beberapa buah universiti dan institusi pendidikan kesukanan di sana.
Antara tujuan lawatan tersebut adalah bagi melihat pendekatan-pendekatan pelaksanaan program-program sukan dan perancangan kurikulum di institusi-institusi sukan di Australia serta mengenal pasti kriteria kemasukan, pengiktirafan dan sebagainya. Di samping itu juga untuk menjalin hubungan kerjasama yang lebih rapat bagi kemungkinan mendapatkan tenaga-tenaga akademik dan jurulatih profesional yang diperlukan.
Lawatan ini juga bertujuan melihat kelengkapan-kelengkapan sukan yang terdapat di institusi-institusi berkenaan yang mungkin boleh dijadikan contoh untuk persediaan bagi melengkapkan peralatan-peralatan sukan yang diperlukan oleh Sekolah Sukan.
Dengan adanya lawatan dan pengalaman yang diperolehi dari lawatan itu nanti dan jika bersesuaian, Kementerian Pendidikan akan dapat menjadikannya sebagai contoh dalam menentukan hala tuju Sekolah Sukan dan seterusnya untuk merealisasikan matlamat yang dihasratkan atas penubuhannya.
Turut serta dalam rombongan tersebut ialah Yang Mulia Datin Paduka Dayang Apsah binti Haji Abdul Majid, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) dan beberapa orang pegawai kanan dari Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan Kementerian Pendidikan.
2.3.09
Posted by KLIKKLIKNAJ at 3/02/2009 03:50:00 pm