14.1.09

Jawapan "Laporan IRK perlu diwajibkan,s eperti yang terdapat dalam MP

Status quo IRK tidak berubah (MP 12 januari 2009)
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Kementerian Pendidikan hari ini menegaskan kedudukan status quo mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam (IRK) dalam Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 (SPN 21) adalah tidak berubah.
Di bawah sistem itu, pendidikan agama masih merupakan salah satu mata pelajaran wajib diikuti setiap pelajar di peringkat persekolahan rendah dari Tahun 1 hingga Tahun 6, dan seterusnya akan bersambung ke Tahun 7 dan 8.
Dalam sistem sebelum itu, IRK diwajibkan sehingga ke Menengah 3 di mana pelajar akan mengambil Penilaian Menengah Bawah (PMB), kata kementerian dalam kenyataan yang merujuk kepada berita muka depan Media Permata keluaran 9 Januari bertajuk "IRK PERLU DIWAJIBKAN".
Isi kandungan kurikulum dan peruntukan waktu Tahun 7 dan 8 masih sama dengan isi kandungan kurikulum dan peruntukan waktu yang digunakan sebelum SPN21, tambah kenyataan.
Kedudukan mata pelajaran IRK pula adalah sama dari segi penekanan dan penumpuan pengajaran dan pembelajarannya dengan mata-mata pelajaran lain dan ia menggambarkan Kementerian Pendidikan tetap memberi penekanan, keutamaan dan kepentingan kurikulum IRK dalam SPN21, katanya.
Kementerian juga berkata di bawah sistem baharu ini, IRK hanya menjadi mata pelajaran elektif dalam Tahun 9 hingga Tahun 10 atau Tahun 9 hingga Tahun 11 ketika pelajar mengambil peperiksaan "O" Level.
Ini bermakna bagi mereka yang mampu mengambil "O" Level dalam Tahun 10, turut beruntung kerana dapat menyelamatkan masa satu tahun, tambah kenyataan itu.
Manakala di peringkat "A" Level, IRK diambil kira bagi pemohon yang mempunyai kebolehan, kecenderungan dan berminat meningkatkan pengajian ke pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara bagi jurusan-jurusan yang bersesuaian dengan pencapaian yang bersesuaian, serta jika memenuhi lain-lain syarat-syarat kemasukan.
Penyediaan kurikulum IRK SPN21 disediakan oleh Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk sekolah-sekolah umum, manakala sebahagian tenaga pengajar IRK dibekalkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, jelas kenyataan Kementerian Pendidikan.
Kerjasama kedua-dua kementerian itu dapat melaksanakan mata pelajaran IRK dengan baiknya selama ini dan walaupun perhatian Kementerian Pendidikan lebih tertumpu pada meningkatkan kualiti mata-mata pelajaran umum bagi membawa kepada pembangunan negara, IRK tidak ditinggalkan dan diabaikan, tegas kenyataan.