MENTERI PENDIDIKAN HADIRI
FORUM PEMBELAJARAN DAN TEKNOLOGI
MENTERI-MENTERI PENDIDIKAN DUNIA
KALI PERTAMA
LONDON, 17 JANUARI 2009 : Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Seri Paduka Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib telah menghadiri Forum Pendidikan dan Teknologi Menteri-Menteri Pendidikan Dunia yang diadakan di sini bermula 12 Januari yang lalu. Forum tersebut diadakan yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Kanak-Kanak, Sekolah dan Keluarga dan Kementerian Inovasi, Universiti dan Kemahiran, United Kingdom itu bertujuan menghimpunkan kira-kira 160 orang menteri pendidikan, penggubal polisi dan pengamal pendidikan dari seluruh dunia itu menjadi platform bagi berdialog untuk mengenal pasti cabaran-cabaran masa hadapan dunia pendidikan, dan menggalakkan kolobrasi dalam penggunaan inovatif teknologi dalam pendidikan. Forum yang berlangsung selama tiga (3) hari itu diadakan juga secara bergandingan dengan British Educational Training and Technolgy (BETT) Seminar and Exhibition, dan seramai tujuh orang pegawai kanan Kementerian Pendidikan juga telah menghadiri seminar BETT tersebut. Mereka yang terdiri daripada beberapa orang guru besar pengetua sekolah menengah dan sekolah vokasional itu diketuai oleh Pengarah Kenaziran Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan.
Beberapa orang Menteri Pendidikan dunia, seperti Menteri Pendidikan Arab Saudi, Uganda, Portugal, Tunisia dan Botswana.,telah memberikan ucaptama mereka, yang berkisar mengenai polisi, amalan-amalan terbaik, pembangunan dan kejayaan pendidikan di negara mereka masing-masing. Dalam ucaptama tersebut, kebanyakan negara sedang rancak melaksanakan perubahan untuk memajukan pendidikan di Negara masing-masing, bersesuaian dengan peredaran masa dan kehendak terkini.
Sementara berada di United Kingdom, Yang Berhormat Pehin juga telah membuat lawatan kerja ke dua (2) buah universiti, iaitu Universiti Manchester dan Kolej Imperial, London. Dalam pertemuan-pertemuan itu, Yang Berhormat Pehin dan pihak universiti-universiti tersebut telah berbincang mengenai peluang-peluang kerjasama yang dapat dijalin, khususnya dalam kejuruteraan. Yang Berhormat Pehin juga telah berkesempatan membuat lawatan kerja ke Kolej Richmond Upon Thames dan Kolej Milton Keynes. Kedua-dua buah kolej ini menawarkan kepada para pelajar yang berusia 16 – 19 tahun pelbagai mata pelajaran yang menjurus kepada minat pelajar dan kehendak industri.
Semasa di Universiti Manchester, Yang Berhormat Pehin juga telah mengadakan pertemuan dengan kira-kira 30 orang pelajar penerima biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan pelajar persendirian yang sedang menuntut di universiti tersebut. Dalam pertemuan itu, Yang Berhormat Pehin telah menasihatkan agar para pelajar tidak lupa dengan tanggungjawab mereka sebagai pelajar dan rakyat Brunei Darussalam, dan menekankan agar mereka menjauhkan diri daripada masalah-masalah yang boleh menjejaskan pembelajaran mereka di sana, serta meminta mereka kembali ke Negara Brunei Darussalam dengan kejayaan yang cemerlang. Para pelajar juga secara langsung berkesempatan bertanya tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan peraturan biasiswa. Pada masa ini seramai 1549 orang pelajar Brunei yang menerima pelbagai jenis biasiswa daripada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan pihak-pihak lain, serta pelajar persendirian sedang menuntut di United Kingdom dan Eire dalam pelbagai kursus dan peringkat.
Semasa singgah di Republik Singapura dalam perjalanan ke United Kingdom pula, Yang Berhormat Pehin berserta rombongan telah berkesempatan membuat lawatan kerja ke ESSEC Business School, yang menjalankan program-program latihan pembangunan. Dalam pertemuan dengan pihak eksekutif institusi tersebut, Yang Berhormat Pehin telah menjalin persefahaman dan kerjasama di peringkat pengajian.
Sepanjang berada di negara ini dan lawatan-lawatan kerja tersebut, Yang Berhormat Pehin disertai oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Naib Canselor UBD, Naib Canselor ITB, Pengarah Pengajian Unit Penuntut-Penuntut di sini dan beberapa orang pegawai kanan di Kementerian Pendidikan.
18.1.09
LAWATAN MENTERI PENDIDIKAN KE LONDON
Posted by KLIKKLIKNAJ at 1/18/2009 04:08:00 pm