IRK perlu diwajibkan (MP 9 Januari 2009)
Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Pengetahuan Ugama Islam (IRK) perlu menjadi mata pelajaran teras dalam sesuatu sistem pendidikan bagi mencapai hasrat membentuk "Modal Insan Rabbani".
Namun dalam Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 (SPN 21), mata pelajaran itu hanya dijadikan mata pelajaran wajib di peringkat rendah dan tetapi menjadi mata pelajaran elektif di peringkat menengah (Tahun 7, 8 dan 9).
"Jika SPN 21 itu tidak dapat dinilai semula, ia boleh menjejaskan hasrat negara menjadikan negara ini sebagai Negara Zikir," kata Dekan Fakulti Pendidikan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Haji Yahya Haji Apong.
Ketika bercakap dalam Forum Khas sempena Sambutan Awal Tahun Hijrah 1430, Universiti Brunei Darussalam (UBD) semalam, katanya pelajar Tahun 7 hingga Tahun 9 adalah dalam peringkat perkembangan dan peralihan daripada kanak-kanak kepada remaja.
Sehubungan itu, pendidikan agama Islam sepatutnya lebih dipertingkatkan lagi dan bukannya dikurangkan pula fungsinya, lebih-lebih lagi Islam sudah menggariskan yang pendidikan itu adalah proses berterusan yang perlu terus dipertingkatkan selepas seseorang itu mencapai umur baligh, katanya.
"Oleh sebab IRK menjadi mata pelajaran elektif pada tahun-tahun pengajian berkenaan, maka kita jangan terkejut jika ada kalangan pelajar atau ibu bapa yang tidak cemas jika pelajar berkenaan tidak lulus mata pelajaran berkenaan," ujarnya.
"Kita perlu faham IRK adalah penanaman akidah, penerapan nilai rohani, pembentukan manusia yang mantap akidahnya dan sempurna ibadahnya.
"IRK perlulah diserlahkan semula dan diberikan penekanan khusus dalam SPN 21 supaya menepati kehendak dan hasrat IRK itu diperkenalkan ke dalam pendidikan negara," sarannya.
Pendidikan formal di negara ini sememangnya persoalan yang besar dan sejarah menunjukkan pendidikan formal itu dapat dipecahkan kepada tiga iaitu umum (nilai akademik), agama (nilai rohani) dan program pengajian Islam, hurainya.
Beliau menerangkan, pendidikan umum bermatlamat untuk melahirkan pakar profesional bagi pembangunan negara, manakala agama pula bagi melengkapkan kemahirannya dan program pengajian Islam yang hanya khusus bagi mereka yang mengikuti pengajian Islam adalah bagi mempelajari ilmu dalam Islam.
Beliau menyatakan itu menunjukkan sistem pendidikan berkenaan adalah sistem berpisah-pisah dan sistem begitu adalah kurang berkesan dalam gagasan pendidikan Islam, dan jika pun berjaya, terpaksa melalui perjalanan penuh liku.
"Kita ambil saja contoh ilmuwan terkemuka Islam iaitu Ibnu Sina yang juga seorang pakar perubatan, ahli faqih, ahli tasawuf, ahli falak, ahli fizik dan juga seorang hafiz kerana beliau memiliki ilmu yang pelbagai iaitu bukan hanya tertumpu pada keduniaan ataupun akhirat semata-mata bahkan kedua-duanya.
Sementara itu pengerusi forum, Haji Mohammad Firdaus Haji Noordin menyatakan SPN21 yang baru saja di peringkat awal perlaksanaannya perlu diberi peluang untuk dinilai dan dipertingkatkan lagi sistemnya supaya menjadi lebih mantap dan itu memerlukan idea sihat dan kesepaduan daripada semua pihak di negara ini.
Yang Hadir pada forum dan seterusnya menyampaikan cenderamata kepada pengerusi dan panel forum berkenaan ialah Naib Canselor UBD, Dr Haji Zulkarnain Haji Hanafi.
14.1.09
Status IRK dalam SPN ( kekeliruan)
Posted by KLIKKLIKNAJ at 1/14/2009 05:58:00 pm